10 Oktober 2012

Hikmah Cemburu Buta

0 Komen
Hikmah Cemburu Buta | Kelahiran Muawiyah yang akan menjadi orang besar sudah diramal oleh seorang tukang tilik di zaman jahiliyah. Hindun bin Utbah ibu kepada Muawiyah pernah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Fakih bin Al-Mughirah sebelum berkahwin dengan Abu Sufyan. Fakih seorang Arab yang sangat suka menerima tetamu, bahkan dia punya satu rumah khusus yang disediakan untuk tetamu dan orang musafir. Rumah tersebut dibuka siang dan malam dan boleh ditempati oleh tetamu dan musafir tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu.


Suatu hari, rumah tetamu tersebut sedang kosong, maka Fakih membawa Hindun beristirehat dan berbaring-baring di rumah tersebut. Sebentar kemudian Fakih keluar untuk suatu keperluan dan Hindu tertidur di situ sementara menunggu suaminya. Tiba-tiba datang seorang lelaki tetamu yang ingin beristirehat di rumah tersebut dan masuk ke dalam, tapi dia melihat seorang perempuan sedang tidur di dalamnya. Oleh kerana itu, dia segera keluar semula. Ketika lelaki itu keluar, Fakih datang dan melihatnya. Kecurigaan pun timbul di dalam hatinya, mukanya berubah menjadi merah. Fakih terus masuk dan menendang isterinya yang sedang tidur. Hindun terkejut dan cuba bangun dalam keadaan terhoyong-hayang.

"Ada apa? Ada apa?" kata Hindun dalam keadaan gugup.

Pertanyaannya tidak dijawab, tiba-tiba Fakih telah bertanya dengan nada yang keras, "Siapa lelaki yang bersamamu tadi?"

"Lelaki? Mana ada...aku tidak melihat sesiapa, aku tidur dan baru terjaga setelah dikejutkan oleh engkau..." jawab Hindun.

Al-Fakih terus menuduh, tapi Hindun terus mempertahankan kejujurannya. Maka terjadilah perang mulut di antara kedua-dua suami isteri itu.

"Baliklah engkau kepada keluargamu." kata Fakih menghalau Hindun.

Hindun terus bingkas dan balik ke rumah ayahnya. Sementara orang ramai memperkatakan mereka dari mulut ke mulut sehingga terdengar juga oleh Utbah, ayah Hindun.

"Wahai anakku, sesungguhnya orang ramai telah saling memperkatakan engkau. Maka hendaklah engkau ceritakan kepadaku perkara yang sebenarnya. Jika lelaki yang dimaksudkan itu benar-benar ada, aku akan mengutus orang untuk membunuhnya, agar cerita itu lenyap. Sebaliknya jika berita itu bohong aku akan bertahkim kepada tukang tilik di Yaman." kata Utbah kepada Hindun.

Hindun bersumpah kepada ayahnya bahawa berita itu tidak pernah ada, dia tidak pernah berlaku curang dan tidak pernah mengkhianati suaminya. Berdasarkan keterangan Hindun itu, Utbah memanggil Fakih dan berkata: "Engkau telah menuduh anakku dengan tuduhan yang besar. Oleh kerana itu aku akan ajak engkau agar bertahkim kepada tukang tilik di Yaman."

"Boleh," jawab Fakih.

Pada hari yang telah ditetapkan, Fakih berangkat ke Yaman bersama sejumlah kaum keluarganya dari Bani Makhzum, sementara Utbah dan Hindun berangkat bersama sekumpulan kaum keluarganya dari Banu Abdi Manaf. Apabila hampir sampai ke tempah bomoh yg di tuju, tiba-tiba wajah Hindun berubah menjadi pucat seperti orang ketakutan.

"Wahai anakku, mengapa keadaanmu tiba-tiba berubah seperti ketakutan? Ini pasti ada sesuatu yang engkau rahsiakan. Ayuh cakap terus terang aja." kata Utbah kepada Hindun.

"Wahai ayahku, demi Allah, aku tidak menyimpan apa-apa rahsia yang ditakuti. Tapi aku tahu bahawa engkau akan datang keapda seorang manusia tukang ramal, yang kadang-kadang salah dan kadang-kadang benar. Aku merasa tidak aman, khuatir tekaannya salah, maka aku akan menjadi umpatan dan cacian bangsa Arab." jawab Hindun.

"Jangan khuatir wahai anakku, aku akan menguji ahli nujum itu terlebih dahulu sebelum menilik dirimu, sama ada dia betul tahu atau hanya sekadar meneka-neka." kata Utbah.

Utbah ingin mengetahui sama ada tukang tilik it betul-betul mahir atau hanya sekadar meneka-neka. Sebelum dia masuk ke rumah si ahli nujum, Utbah mengambil sebiji gandum lalu disorokkan ke bawah pelana kudanya. Kemudian rombongan itu masuk ke rumah tok nujum dan disambut dengan gembira dan penuh kehormatan.

"Wahai tok nujum, aku datang kepadamu untuk suatu urusan. Sebelumnya aku telah menyorokkan sesuatu untuk mengujimu, cuba sebutkan apa itu?" kata Utbah.

"Hahaha....Engkau hanya menyorokkan sebiji bijiran sahaja." kata si tukang tilik.

"Aku ingin engkau terangkan lebih jelas." pinta Utbah.

"Bijiran itu adalah sebiji bijiran gandum yang ada dicelah-celah pelana kudamu. Betul tak?" kata si tukang tilik.

"Engkau betul." kata Utbah. Utbah sangat kagum akan kepandaian si tukang tilik itu, maka dia pun yakin dapat meneka keadaan Hindun dengan tepat.

"Nah sekarang, terangkan keadaan perempuan-perempuan itu." kata Utbah sambil menunjuk kepada perempuan-perempuan yang terdiri dari Banu Makhzum dan Bani Abdi Manaf itu. Tukang tilik bangkit dan menghampiri perempuan-perempuan yang duduk bersimpuh di situ lalu ditepuk bahunya satu-satu persatu sambil berkata: "Bangun..!" setiap kali menepuk bahu seorang di antara mereka. Apabila tiba giliran Hindun, tukang tilik menepuk bahunya sambil berkata: "Bangun...! Tidak buruk dan tidak penzina. Dia bakal melahirkan seorang raja yang bernama Muawiyah."

Al-Fakih yang menyaksikan demonstrasi ahli nujum itu sejak tadi, sangat gembira apabila mendengar tentang isterinya. Dia segera menghampiri Hindun lalu dipegang tangannya dengan mesra. Tapi, tiba-tiba Hindun menarik tangannya dari genggaman suaminya itu dengan kasar.

"Mengapa pula engkau ini?" tanya Fakih dengan terkejut.

"Berambuslah engkau dari sini. Demi Allah aku ingin anak itu lahir dengan seorang lelaki selain engkau." kata Hindun lalu pergi meninggalkan Fakih.

Seterusnya, Hindun pergi kepada ayahnya sambil berkata: "Wahai ayahku, sekarang akulah yang memiliki diriku sendiri. Oleh kerana itu, janganlah engkau kahwinkan aku dengan lelaki tanpa persetujuanku."

Fakih sangat menyesal kerana terlalu cemburu buta. Kemudian Hindun berkahwin dengan Abu Sufyan atas pilihannya sendiri. Pasangan itu melahirkan ramai anak yang seorang di antaranya bernama Muawiyah yang kemudian menjadi pengasa dan Raja Daulat Bani Umayyah yang pertama. Rupanya tindakan cemburu buta Fakih mengandungi hikmah besar bagi Abu Sufyan. Dia dapat isteri hebat dan menjadi ayah kepada orang besar.

20 Februari 2012

Ja’far bin Abu Thalib, Si Burung Syurga

1 Komen


Ja'far bin Abu Thalib bin Abdul Muthalib bin Hasyim masuk Islam sejak awal dan sempat mengikuti hijrah ke Habasyah. Ia malah sempat mendakwahkan Islam di daerah itu.

Dalam Perang Muktah, ia diserahkan tugas menjadi pemegang bendera Islam. Setelah tangan kanannya terpotong dia memegang bendera dengan tangan kiri. Namun tangan kirinya juga terpotong, sehingga dia memegang bendera itu dengan dadanya. Akhirnya, ia mati syahid dengan tubuh penuh luka dan sayatan pedang.

Di kalangan Bani Abdi Manaf ada lima orang, yang sangat mirip dengan Rasulullah SAW, sehingga seringkali orang salah meneka. Mereka itu adalah Abu Sufyan bin Harits bin Abdul Muthallib, sepupu sekaligus saudara sesusuan beliau. Qutsam Ibnul Abbas bin Abdul Mutalib, sepupu Nabi. Saib bin Ubaid bin Abdi Yazin bin Hasyim.Ja'far bin Abu Talib, saudara Ali bin Abu Talib. Dan Hasan bin Ali bin Abu Talib, cucu Rasulullah SAW. Dan Ja'far bin Abu Thalib adalah orang yang paling mirip dengan Nabi SAW di antara mereka berlima.

Ja'far dan isterinya, Asma 'bin Umais, bergabung dalam barisan kaum Muslimin sejak dari awal. Kedua-duanya menyatakan Islam di hadapan Abu Bakar As-Siddiq sebelum Rasulullah SAW masuk ke rumah Al-Arqam.

Pasangan suami isteri Bani Hasyim yang muda belia ini tidak luput pula dari penyeksaan kaum kafir Quraisy, sebagaimana yang dialami kaum Muslimin yang pertama-tama masuk Islam. Namun mereka bersabar menerima segala cubaan yang menimpa.

Namun yang merisaukan mereka berdua adalah kaum Quraisy menyekat geraknya untuk menegakkan syiar Islam dan melarangnya untuk merasakan kelazatan ibadah.Maka Ja'far bin Abu Thalib beserta istrinya memohon izin kepada Rasulullah untuk berhijrah ke Habsyah bersama-sama dengan para sahabat lain. Rasulullah SAW pun membenarkan.

Ja'far pun menjadi pemimpin kaum Muslimin yang berangkat ke Habasyah. Mereka merasa lega, bahawa Raja Habasyah (Najasyi) adalah orang yang adil dan soleh. Di Habasyah, kaum Muslimin dapat menikmati kemanisan agama yang mereka anut, bebas dari rasa cemas dan ketakutan yang mengganggu dan yang menyebabkan mereka hijrah.

Ja'far bin Abu Thalib beserta isteri tinggal dengan aman dan tenang dalam perlindungan Najasyi yang ramah tamah itu selama sepuluh tahun.

Pada tahun ke-7 Hijrah, kedua-dua suami isteri itu meninggalkan Habasyah dan hijrah ke Yatsrib (Madinah). Kebetulan Rasulullah SAW baru saja pulang dari Khaibar. Beliau sangat gembira bertemu dengan Ja'far sehingga karena kegembiraannya beliau berkata, "Aku tidak tahu mana yang menyebabkan aku gembira, apakah kerana kemenangan di Khaibar atau kerana kedatangan Ja'far?"

Begitu pula kaum Muslimin umumnya, terlebih fakir miskin, mereka juga bergembira dengan kedatangan Ja'far. Ia adalah seorang yang sangat penyantun dan banyak membela golongan dhuafa, sehingga digelari Abil Masakin (bapak orang-orang miskin).

Abu Hurairah bercerita tentang Ja'far, "Orang yang paling baik kepada kami (golongan orang-orang miskin) ialah Ja'far bin Abu Thalib. Dia sering mengajak kami makan di rumahnya, lalu kami makan apa yang ada. Bila makanannya sudah habis, diberikannya kepada kami pancinya, lalu kami habiskan sampai dengan kerak-keraknya. "

Belum begitu lama Ja'far tinggal di Madinah, pada awal tahun ke-8 Hijrah, Rasululalh SAW menyiapkan pasukan tentera untuk memerangi tentera Rom di Muktah. Beliau mengangkat Zaid bin Haritsah menjadi komander pasukan.

Rasulullah berpesan, "Jika Zaid tewas atau cedera, komander digantikan Ja'far bin Abi Talib. Seandainya Ja'far tewas atau cedera pula, dia digantikan Abdullah bin Rawahah. Dan apabila Abdullah bin Rawahah cedera atau gugur pula, hendaklah kaum muslmin memilih pemimpin / komander di antara mereka. "

Setelah pasukan sampai di Muktah, iaitu sebuah bandar berhampiran Syam dalam wilayah Jordan, mereka mendapati tentera Rom telah siap menyambut dengan kekuatan 100.000 pasukan inti yang terlatih, berpengalaman, dan membawa persenjataan lengkap. Pasukan mereka juga terdiri dari 100.000 militia Nasrani Arab dari kabilah-kabilah Lakham, Judzam, Qudha'ah, dan lain-lain. Sementara, tentera kaum Muslimin yang dipimpin Zaid bin Haritsah hanya berkekuatan 3.000 tentera.

Begitu kedua pasukan yang tidak seimbang itu berhadap-hadapanan, pertempuran segera berkobar dengan hebatnya. Zaid bin Harithah gugur sebagai syahid ketika dia dan tentaranya sedang maju menyerbu ke tengah-tengah musuh.

Melihat Zaid jatuh, Ja'far segera melompat dari punggung kudanya, kemudian secepat kilat disambarnya bendera komando Rasulullah dari tangan Zaid, lalu diacungkan tinggi-tinggi sebagai tanda pimpinan kini beralih kepadanya. Dia maju ke tengah-tengah barisan musuh sambil mengibaskan pedang kiri dan kanan memukul rubuh setiap musuh yang mendekat kepadanya. Akhirnya musuh dapat mengepung dan mengeroyoknya.

Ja'far berputar-putar mengayunkan pedang di tengah-tengah musuh yang mengepungnya. Dia mengamuk menyerang musuh ke kanan dan kiri dengan hebat.Suatu ketika tangan kanannya terkena sabetan musuh sehingga buntung. Maka dipegangnya bendera komando dengan tangan kirinya.

Tangan kirinya putus pula terkena sabetan pedang musuh. Dia tidak gentar dan putus asa. Dipeluknya bendera komando ke dadanya dengan kedua-dua lengan yang masih utuh. Namun tidak berapa lama kemudian, kedua-dua lengannya tinggal sepertiga sahaja dibuntung musuh. Ja'far pun syahid menyusul Zaid.

Secepat kilat Abdullah bin Rawahah merebut bendera komando dari komando Ja'far bin Abu Talib. Pimpinan kini berada di tangan Abdullah bin Rawahah, sehingga akhirnya dia gugur pula sebagai syahid, menyusul kedua-dua sahabatnya yang telah syahid lebih dahulu.

Rasulullah SAW sangat sedih mendapat berita ketiga panglimanya gugur di medan tempur. Beliau pergi ke rumah Ja'far, didapatinya Asma ', isteri Ja'far, sedang bersiap-siap menunggu kedatangan suaminya. Dia mengacau adunan roti, merawat anak-anak, memandikan dan memakaikan baju mereka yang bersih.

Asma 'bercerita, "Ketika Rasulullah mengunjungi kami, terlihat wajah beliau diselubungi kabut sedih. Hatiku cemas, tetapi aku tidak berani bertanya apa yang terjadi, kerana aku takut mendengar berita buruk. Beliau memberi salam dan bertanya anak-anak kami. Beliau bertanya mana anak -anak Ja'far, suruh mereka ke sini. "

Asma 'kemudian memanggil mereka semua dan disuruhnya menemui Rasulullah SAW.Anak-anak Ja'far berlompatan kegirangan mengetahui kedatangan beliau. Mereka berebutan untuk bersalaman kepada Rasulullah. Beliau menengkurapkan mukanya kepada anak-anak sambil menciumi mereka penuh haru. Air mata beliau mengalir membasahi pipi mereka.

Asma 'bertanya, "Ya Rasulullah, demi Allah, mengapa anda menangis? Apa yang terjadi dengan Ja'far dan kedua-dua sahabatnya?"

Beliau menjawab, "Ya, mereka telah syahid hari ini."

Mendengar jawapan beliau, maka reduplah senyum kegirangan di wajah anak-anak, apalagi setelah mendengar ibu mereka menangis tersedu-sedu. Mereka diam terpaku di tempat masing-masing, seolah-olah seekor burung sedang bertengger di kepala mereka.

Rasulullah berdoa sambil menyeka air matanya, "Ya Allah, gantilah Ja'far bagi anak-anaknya ... Ya Allah, gantilah Ja'far bagi isterinya."

Kemudian beliau bersabda, "Aku melihat, sungguh Ja'far berada di syurga. Dia mempunyai dua sayap berlumuran darah dan bertanda di kakinya."

11 Februari 2012

Romantik Gaya Saidina Umar Al Khattab

0 Komen

Assalamualaikum semua para sahabat-sahabatku serta para pembaca semua... Kali ini admin akan berkongsi tentang Saidina Umar  yang romantik. Bagi pasangan yang dah berkahwin pastinya akan melihat si isteri yang membebel apabila ada masalah atau sesuatu yang dia tak puashati, bukan ?. Biasalah tu, sudah menjadi lumrah alam. Tapi ada juga si suami yang tak suka sangat isteri dia tu kuat membebel macam kisah yang akan di ceritakan di bawah nanti. Perempuan yang kuat membebel nie biasanya untuk luahkan segala perasaan dan melempias semua kepenatannya. Betulkah tu ? itu admin pun tak tahu sangat, cuba tanya dekat para perempuan. Mungkin mereka boleh beritahu sendiri... Oklah nak cakap panjang-panjang pun tak bagus juga nanti lari pula dari tajuk kita nie... 

Para suami sekalian, mungkin kisah di bawah nie akan memberi sedikit panduan dan motivasi kepada anda semua... Selamat membaca... hehehe

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab R.A, terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel. Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun memarahi isterinya kerana ‘kuat’ membebel. Sehingga lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya memang seorang ‘kaki bebel’. Memandangkan keadaan rumahtangganya semakin parah, si suami sudah tidak tahan dengan perangai isterinya, dia-pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas. Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Menurutnya, “Kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku”.

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?”

Si suami tadi menjawab, “Aku sebenarnya datang hendak mengadu hal isteri aku yang kuat membebel, tetapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu”.

Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “Apa salahnya aku membiarkan isteriku berleter. Bukankah dia yang menjaga aku, anak-anakku dan rumah tangga. Apalah halnya jika dia sekadar membebel kepadaku”.

Itulah cara Sayidina Umar menghargai layanan dan khidmat bakti isterinya yang begitu setia setelah sekian lama bersusah payah menguruskan rumah tangga. Diam Umar adalah diam tanda sayang, paling-paling Umar hanya tersenyum mendengar bebelan isterinya itu. Itulah romantik cara Saidina Umar. Dibiarkannya isterinya membebel untuk meluahkan perasaannya. Bebelan isterinya juga adalah bebelan sayang, bebelan tanggungjawab dan keprihatinan, bukannya marah-marah yang menjatuhkan maruah dan tidak sampai ke tahap menderhaka kepada suami.

3 Januari 2012

Hudzaifah Ibnul Yaman, Pemegang Rahasia Rasulullah

0 Komen




Hudzaifah Ibnul Yaman lahir di rumah tangga Muslim, dipelihara dan dibesarkan dalam pangkuan kedua orang tuanya yang telah memeluk agama Allah, sebagai rombongan pertama.

Oleh sebab itu, Hudzaifah telah Islam sebelum dia bertemu muka dengan Rasulullah. Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah, Hudzaifah selalu mendampingi beliau bagaikan seorang kekasih. Hudzaifah turut bersama-sama dalam setiap peperangan yang dipimpinnya, kecuali dalam Perang Badar.

Dalam Perang Uhud, Hudzaifah ikut memerangi kaum kafir bersama-sama dengan ayahnya, Al-Yaman. Dalam perang itu, Hudzaifah mendapat cubaan besar. Dia pulang dengan selamat, tetapi bapanya syahid oleh pedang kaum Muslimin sendiri, bukan kaum musyrikin. Kaum Muslimin tidak mengetahui jika Al-Yaman adalah sebahagian daripada mereka, sehingga mereka membunuhnya dalam perang.

Rasulullah menilai dalam peribadi Hudzaifah Ibnul Yaman terdapat tiga keistimewaan yang menonjol. Pertama, cerdas, sehingga dia dapat meloloskan diri dalam situasi yang serba sukar. Kedua, cepat tanggap, berfikir cepat, tepat dan jitu, yang dapat dilakukannya setiap diperlukan. Ketiga, cermat memegang rahsia, dan berdisiplin tinggi, sehingga tidak seorang pun dapat mengorek yang dirahasiakannya.

Kesulitan terbesar yang dihadapi kaum Muslimin di Madinah ialah kehadiran kaum Yahudi munafik dan sekutu mereka, yang selalu membuat isu-isu dan muslihat jahat. Untuk menghadapi kesulitan ini, Rasulullah memercayakan suatu yang sangat rahsia kepada Hudzaifah Ibnul Yaman-dengan memberikan daftar nama orang munafik itu kepadanya.Itulah suatu rahsia yang tidak pernah bocor kepada siapa pun sehingga sekarang.

Dengan memercayakan hal yang sangat rahsia itu, Rasulullah menugaskan Hudzaifah memantau setiap gerak-geri dan kegiatan mereka, untuk mengelakkan bahaya yang mungkin dilontarkan mereka terhadap Islam dan kaum Muslimin. Kerana inilah, Hudzaifah Ibnul Yaman digelari oleh para sahabat dengan "Shahibu Sirri Rasulullah (Pemegang Rahsia Rasulullah).

Pada kemuncak Perang Khandaq, Rasulullah memerintahkan Huzaifah melaksanakan suatu tugas yang amat berbahaya. Beliau mengutus Hudzaifah ke jantung pertahanan musuh, dalam kegelapan malam yang hitam pekat.

"Ada beberapa peristiwa yang dialami musuh. Pergilah engkau ke sana dengan sembunyi-sembunyi untuk mendapatkan data-data yang pasti. Dan laporkan kepadaku akan!" perintah beliau.

Huzaifah pun bangun dan berangkat dengan takutan dan menahan sejuk yang sangat menusuk. Maka, Rasulullah berdoa, "Ya Allah, lindungilah dia, dari depan, dari belakang, ke kanan, kiri, atas, dan dari bawah."

"Demi Allah, sesudah Rasulullah selesai berdoa, ketakutan yang menghantui dalam dadaku dan kedinginan yang menusuk-nusuk tubuhku hilang seketika, sehingga aku merasa segar dan perkasa," tutur Huzaifah.

Tatkala ia memalingkan diri dari Rasulullah, beliau memanggilnya dan berkata, "Wahai Hudzaifah, sekali-kali jangan melakukan tindakan yang mencurigakan mereka sampai tugasmu selesai, dan kembali kepadaku!"

"Saya siap, ya Rasulullah," jawab Huzaifah.

Huzaifah pun pergi dengan sembunyi-sembunyi dan hati-hati sekali, dalam kegelapan malam yang hitam kelam. Ia berjaya menyusup ke jantung pertahanan musuh dengan berlagak seolah-olah ahli pasukan mereka. Belum lama berada di tengah-tengah mereka, tiba-tiba terdengar Abu Sufyan memberi arahan.

"Hai, pasukan Quraisy, dengarkan aku berbicara kepada kamu. Aku sangat bimbang, hendaknya pembicaraanku ini jangan sampai terdengar oleh Muhammad. Kerana itu, telitilah lebih dahulu setiap orang yang berada di samping kalian masing-masing!"

Mendengar ucapan Abu Sufyan, Huzaifah akan memegang tangan orang yang di sampingnya seraya bertanya, "Siapa kamu?"

Jawabnya, "Aku si Fulan, anak si anu."

Sesudah dirasanya dalam, Abu Sufyan melanjutkan bicaranya, "Hai, pasukan Quraisy. Demi Tuhan, sesungguhnya kita tidak dapat bertahan di sini lebih lama lagi. Haiwan-haiwan kenderaan kita telah banyak yang mati. Bani Quraizhah khianat meninggalkan kita. Angin taufan menyerang kita dengan ganas seperti kamu rasakan. Kerana itu, berangkatlah kalian sekarang dan tinggalkan tempat ini. Sesungguhnya aku sendiri akan berangkat. "

Selesai berkata demikian, Abu Sufyan kemudian mendekati untanya, melepaskan tali penambat, lalu dinaiki dan dipukulnya. Unta itu bangun dan Abu Sufyan langsung berangkat. Seandainya Rasulullah tidak melarangnya melakukan suatu tindakan di luar perintah sebelum datang melapor kepada beliau, tentu ia akan membunuh Abu Sufyan dengan pedangnya.

Hudzaifah Ibnul Yaman sangat cermat dan teguh memegang segala rahsia mengenai orang-orang munafik selama hidupnya, sampai kepada seorang khalifah sekali pun.Bahkan Khalifah Umar bin Khathtab, jika ada orang Islam yang meninggal, dia bertanya, "Apakah Hudzaifah turut menyalatkan jenazah orang itu?" Jika mereka menjawab, "Ada," Umar turut menyalatkannya.

Suatu ketika, Khalifah Umar pernah bertanya kepada Huzaifah dengan cerdik, "Adakah di antara pegawai-pegawaiku orang munafik?"

"Ada seorang," jawab Huzaifah.

"Tolong tunjukkan kepadaku siapa?" kata Umar.

Hudzaifah menjawab, "Maaf Khalifah, saya dilarang Rasulullah mengatakannya."

Walau bagaimanapun, amat sedikit orang yang mengetahui bahawa Huzaifah Ibnul Yaman sesungguhnya adalah pahlawan penakluk Nahawand, Dainawar, Hamadzan, dan Rai. Dia membebaskan bandar-bandar tersebut bagi kaum Muslimin dari genggaman kekuasaan Parsi. Huzaifah juga termasuk tokoh yang memulakan keseragaman mushaf Al-Quran, sesudah kitabullah itu beraneka ragam coraknya di tangan kaum Muslimin.

Ketika Hudzaifah sakit tenat menjelang ajalnya tiba, beberapa orang sahabat datang mengunjunginya pada tengah malam. Huzaifah bertanya kepada mereka, "Pukul berapa sekarang?"

Mereka menjawab, "Sudah dekat Subuh."

Hudzaifah berkata, "Aku berlindung kepada Allah dari Subuh yang menyebabkan aku masuk neraka."

Dia bertanya kembali, "Adakah kamu membawa kafan?"

Mereka menjawab, "Ada."

Hudzaifah berkata, "Tidak perlu kafan yang mahal. Jika diriku baik dalam penilaian Allah, Dia akan menggantikannya untukku dengan kafan yang lebih baik. Dan jika aku tidak baik dalam pandangan Allah, Dia akan menanggalkan kafan itu dari tubuhku."

Sesudah itu dia berdoa kepada Allah, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu, aku lebih suka fakir daripada kaya, aku lebih suka sederhana daripada mewah, aku lebih suka mati daripada hidup."

Sesudah berdoa demikian, ruhnya pun pergi menghadap Ilahi. Seorang kekasih Allah kembali kepada Allah dalam kerinduan. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya.

31 Disember 2011

Khabbab Bin Arats, Guru Dalam Ilmu Dan Pengorbanan

0 Komen

Kisah Sahabat Nabi: Khabbab bin Arats, Guru dalam Ilmu dan Pengorbanan

Khabbab bin Arats adalah seorang pandai besi yang ahli membuat alat-alat senjata, terutama pedang. Senjata dan pedang buatannya dijualnya kepada penduduk Makkah dan dikirimnya ke pasar-pasar.

Sejak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, Khabbab pun mendapatkan kedudukan yang tinggi di antara orang-orang yang tersiksa dan teraniaya. Ia mendapat kedudukan itu di antara orang-orang yang walau pun miskin dan tak berdaya, tetapi berani dan tegak menghadapi kesombongan, kesewenangan dan kegilaan kaum Quraisy.

Dan dengan keberanian luar biasa, Khabbab memikul tanggung jawab semua itu sebagai seorang perintis.

Sya'bi berkata, "Khabbab menunjukkan ketabahannya, hingga tak sedikit pun hatinya terpengaruh oleh tindakan biadab orang-orang kafir. Mereka menindihkan batu membara ke punggungnya, sehingga terbakarlah dagingnya."

Kafir Quraisy telah merubah semua besi yang terdapat di rumah Khabbab yang dijadikannya sebagai bahan asas untuk membuat pedang, menjadi belenggu dan rantai besi. Lalu mereka masukkan ke dalam api hingga menyala dan merah membara, kemudian mereka lilitkan ke tubuh, pada kedua-dua tangan dan kedua kaki Khabbab.

Pernah pada suatu hari ia pergi bersama kawan-kawannya sependeritaan menemui Rasulullah SAW, bukan kerana kecewa dan kesal atas pengorbanan, hanyalah kerana ingin dan mengharapkan keselamatan.

Mereka berkata, "Wahai Rasulullah, tidakkah anda hendak meminta pertolongan bagi kami?"

Rasulullah SAW pun duduk, mukanya jadi merah, lalu sabdanya: "Dulu sebelum kamu, ada seorang laki-laki yang diseksa, tubuhnya ditanam kecuali leher ke atas. Lalu diambil sebuah gergaji untuk menggergaji kepalanya, tetapi seksaan demikian itu tidak sedikit pun dapat memalingkannya dari agamanya. Ada pula yang disikat antara daging dan tulang-tulangnya dengan berus besi, juga tidak dapat menggoyahkan keimanan. Sesungguhnya Allah akan menyempurnakan hal tersebut, hingga setiap pengembara yang mengembara dari Shana'a ke Hadlramaut, tiada tahut kecuali pada Allah Azza wa Jalla. "

Khabbab dengan kawan-kawannya mendengar kata-kata itu, bertambahlah keimanan dan keteguhan hati mereka. Dan masing-masing berikrar akan membuktikan kepada Allah dan Rasul-Nya perkara yang diharapkan daripada mereka, ialah ketabahan, kesabaran dan pengorbanan.

Demikianlah, Khabbab menanggung penderitaan dengan sabar, tabah dan tawakkal.Orang-orang Quraisy terpaksa meminta bantuan Ummi Anmar, yakni bekas majikan Khabbab yang telah membebaskannya dari perhambaan. Wanita tersebut akhirnya turun tangan dan turut mengambil bahagian dalam menyeksa dan menderanya.

Wanita itu mengambil besi panas yang menyala, lalu meletakkannya di atas kepala dan ubun-ubun Khabbab, sementara Khabbab menggeliat kesakitan. Tetapi nafasnya ditahan hingga tidak keluar keluhan yang akan menyebabkan algojo-algojo tersebut merasa puas dan gembira.

Pada suatu hari Rasulullah SAW lewat di hadapannya, sedang besi yang membara di atas kepalanya membakar dan menghanguskannya. Hingga kalbu Rasulullah pun bagaikan terangkat kerana pilu dan hiba hati. Rasulullah kemudian berdoa, "Ya Allah, limpahkanlah pertolongan-Mu kepada Khabbab!"

Dan kehendak Allah pun berlakulah, selang beberapa hari, Ummi Anmar menerima hukuman qisas. Seolah-olah hendak dijadikan peringatan oleh Yang Maha Kuasa baik bagi dirinya mahupun bagi algojo-algojo lain. Ia diserang oleh semacam penyakit panas yang aneh dan mengerikan. Menurut keterangan ahli sejarah ia melolong seperti anjing.

Dan orang memberi nasihat bahawa satu-satunya jalan atau ubat yang boleh menyembuhkannya ialah menyeterika kepalanya dengan besi menyala. Demikianlah, kepalanya yang angkuh itu menjadi sasaran besi panas, yang disetrikakan orang kepadanya setiap pagi dan petang

Jika orang-orang Quraisy hendak mematahkan keimanan dengan siksa, maka orang-orang yang beriman mengatasi seksaan itu dengan pengorbanan. Dan Khabbab adalah salah seorang yang dipilih oleh takdir untuk menjadi guru besar dalam ilmu tebusan dan pengorbanan. Boleh dikata seluruh waktu dan masa hidupnya dibaktikannya untuk agama yang panji-panjinya mula berkibar.

Di masa-masa dakwah pertama, Khabbab. tidak merasa cukup dengan hanya ibadah dan solat semata-mata, tetapi ia juga memanfaatkan kemampuannya dalam mengajar.Didatanginya rumah sebahagian temannya yang beriman dan menyembunyikan keislaman mereka kerana takut kekejaman Quraisy, lalu dibacakannya kepada mereka ayat-ayat Al-Quran dan diajarkannya. Ia mencapai kemahiran dalam belajar Al-Quran yang diturunkan ayat demi ayat dan surat demi surat.

Abdullah bin Mas'ud meriwayatkan mengenai dirinya, bahawa Rasuiullah SAW pernah bersabda, "Barangsiapa ingin membaca Al-Quran tepat sebagaimana diturunkan, hendaklah ia meniru bacaan Ibnu Ummi Abdin (Khabbab bin Arats)!"

Hingga Abdullah bin Mas'ud menganggap Khabbab sebagai tempat bertanya mengenai soal-soal yang bersangkut paut dengan Al-Quran, baik tentang hafalan mahupun pelajarannya.

Khabbab adalah juga yang mengajar Al-Quran kepada Fatimah binti Khattab dan suaminya Sa'id bin Zaid ketika mereka dipergoki oleh Umar bin Khatthab yang datang dengan pedang di pinggang untuk membuat perhitungan dengan agama Islam dan Rasulullah SAW.

Khabbab bin Arats menyertai Rasulullah SAW dalam semua peperangan dan pertempurannya, dan selama hayatnya ia tetap membela keimanan dan keyakinannya.Dan ketika Baitul Mal melimpah-ruah dengan harta kekayaan di masa pemerintahan Umar dan Uthman RA, maka Khabbab beroleh gaji besar, kerana termasuk golongan Muhajirin yang mula pertama masuk Islam.

Penghasilannya yang cukup ini membolehkannya untuk membina sebuah rumah di Kufah, dan harta kekayaannya disimpan dalam suatu tempat di rumah itu yang dikenali oleh para sahabat dan tetamu-tetamu yang memerlukannya. Hingga bila di antara mereka ada sesuatu keperluan, ia boleh mengambil wang yang diperlukannya dari tempat itu.

Walaupun demikian, Khabbab tak pernah tidur nyenyak dan tak pernah air matanya kering setiap teringat akan Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang telah membaktikan hidupnya kepada Allah. Mereka beruntung telah menemui-Nya sebelum pintu dunia dibukakan bagi kaum Muslimin dan sebelum harta kekayaan diserahkan ke tangan mereka.

Ketika para sahabatnya datang menjenguk ketika ia sakit, mereka berkata, "Senangkanlah hati anda wahai Abu Abdillah, kerana anda akan dapat menjumpai teman-teman sejawat anda."

Khabbab berkata sambil menangis, "Sungguh, aku tidak merasa kesal atau kecewa, tetapi kamu telah mengingatkanku kepada para sahabat dan sanak saudara yang telah pergi mendahului kita dengan membawa semua amal bakti mereka, sebelum mereka mendapatkan ganjaran di dunia sedikit pun juga. Sedang kita masih tetap hidup dan beroleh kekayaan dunia, hingga tak ada tempat untuk menyimpannya melainkan tanah. "

Kemudian Khabba menunjuk rumah sederhana yang telah dibina itu, lalu ditunjuknya pula tempat untuk menaruh harta kekayaannya. "Demi Allah, tak pernah saya menutupnya walau dengan sehelai benang, dan tak pernah saya menghalang sesiapa pun yang meminta," ujarnya.

Dan setelah itu ia menoleh kepada kain kafan yang telah disediakan orang untuknya.Maka ketika dilihatnya mewah dan berlebih-lebihan, air matanya mengalir. "Lihatlah ini kain kafanku. Bukankah kain kafan Hamzah bapa saudara Rasulullah SAW ketika gugur sebagai salah seorang syuhada, hanyalah burdah berwarna abu-abu, yang jika ditutupkan ke kepalanya terbukalah kedua hujung kakinya. Sebaliknya bila ditutupkan ke hujung kakinya, terbukalah kepalanya?"

Khabbab berpulang pada tahun 37 Hijrah. Dengan demikian, si pembuat pedang di masa jahiliyah telah tiada lagi. Demikian halnya guru besar dalam pengabdian dan pengorbanan dalam Islam telah berpulang.


Kredit :  http://www.republika.co.id/

Mush'ab bin Umair, Duta Islam yang Pertama

0 Komen

Kisah Sahabat Nabi: Mush'ab bin Umair, Duta Islam yang Pertama


Mus'ab bin Umair salah seorang di antara para sahabat Nabi. Ia seorang remaja Quraisy terkemuka, gagah dan tampan, penuh dengan jiwa dan semangat kemudaan. Para ahli sejarah menggambarkan semangat kemudaannya dengan kalimat: "Seorang warga kota Makkah yang mempunyai nama yang harum."

Mus'ab lahir dan dibesarkan dalam kesenangan, dan membesar dalam lingkungannya.Mungkin tak seorang pun di antara anak-anak muda Makkah yang bertuah dimanjakan oleh kedua-dua orang tuanya sebagaimana yang dialami Mus'ab bin Umair.

Mungkinkah kiranya anak muda yang serba kecukupan, biasa hidup mewah dan manja, menjadi buah-bibir gadis-gadis Makkah dan menjadi bintang di tempat-tempat pertemuan, akan meningkat menjadi tamsil dalam semangat kepahlawanan?

Suatu hari, anak muda ini mendengar berita yang telah tersebar luas di kalangan warga Makkah mengenai Muhammad Al-Amin, yang mengatakan dirinya telah diutus oleh Allah sebagai pembawa berita suka mahupun duka, sebagai dai' yang mengajak umat beribadah kepada Allah Yang Maha Esa.

Di antara berita yang didengarnya ialah bahawa Rasulullah bersama pengikutnya biasa mengadakan pertemuan di suatu tempat yang terhindar jauh dari gangguan kumpulan Quraisy dan ancaman-ancaman, iaitu di bukit Safa di rumah Arqam bin Abil Arqam.

Maka pada suatu senja, didorong oleh kerinduannya, pergilah ia ke rumah Arqam menyertai rombongan itu. Di tempat itu Rasulullah SAW sering berkumpul dengan para sahabatnya, mengajar mereka ayat-ayat Al-Quran dan mengajak mereka beribadah kepada Allah Yang Maha Akbar.

Baru saja Mus'ab mengambil tempat duduknya, ayat-ayat al-Quran mula mengalir dari kalbu Rasulullah bergema melalui kedua bibirnya dan sampai ke telinga, meresap di hati para pendengar. Di senja itu Mus'ab pun terpesona oleh untaian kalimat Rasulullah yang tepat menemui sasaran di kalbunya.

Khunas binti Malik yakni ibunda Mus'ab, adalah seorang yang ada pendirian yang kuat dan pendiriannya tak boleh ditawar atau diganggu gugat, Ia wanita yang disegani bahkan ditakuti. Ketika Mush'ab memeluk Islam, tiada satu kekuatan pun yang ditakuti dan dikhawatirkannya selain ibunya sendiri.

Bahkan walau seluruh penduduk Makkah dan berhala-berhala para pembesar dan padang pasirnya berubah rupa menjadi suatu kekuatan yang menakutkan yang hendak menyerang dan menghancurkannya, tentulah Mus'ab akan menganggapnya mudah. Tapi cabaran dari ibunya, bagi Mush'ab tidak boleh dianggap kecil. Ia pun akan berfikir keras dan mengambil keputusan untuk menyembunyikan keislamannya sampai terjadi sesuatu yang dikehendaki Allah.

Demikianlah ia sentiasa bolak-balik ke rumah Arqam menghadiri majlis Rasulullah, sedang hatinya merasa bahagia dengan keimanan dan sedia menebusnya dengan amarah murka ibunya yang belum mengetahui berita keislamannya.

Tetapi di kota Makkah tiada rahsia yang tersembunyi, apalagi dalam suasana seperti itu.Mata kaum Quraisy berkeliaran di mana-mana mengikuti setiap langkah dan menyelusuri setiap jejak. Kebetulan seorang yang bernama Uthman bin Talhah melihat Mush'ab memasuki rumah Arqam secara sembunyi. Kemudian pada hari yang lain dilihatnya pula ia solat seperti Muhammad SAW. Secepat kilat ia mendapatkan ibu Mush'ab dan melaporkan berita yang dijamin kebenarannya.

Berdirilah Mus'ab di hadapan ibu dan keluarganya serta para pembesar Makkah yang berkumpul di rumahnya. Dengan hati yang yakin dan pasti dibacakannya ayat-ayat Al-Quran yang disampaikan Rasulullah untuk mencuci hati nurani mereka, mengisinya dengan hikmah dan kemuliaan, kejujuran dan ketakwaan.

Ketika sang ibu hendak membungkam mulut anaknya dengan tamparan keras, tiba-tiba tangan yang terulur bagai anak panah itu surut dan jatuh terkulai, ketika melihat cahaya yang membuat wajah puteranya berseri cemerlang itu kian berwibawa. Kerana rasa keibuannya, ibunda Mus'ab tak jadi menyakiti anaknya. Dibawalah puteranya itu ke suatu tempat terpencil di rumahnya, lalu dikurung dan dipenjarakannya dengan rapat.

Demikianlah beberapa lama Mush'ab tinggal dalam kurungan sampai saat beberapa orang Muslimin berhijrah ke Habsyah. Mendengar berita hijrah ini Mus'ab pun mencari muslihat, dan berjaya mengelabui ibu dan penjaga-penjaganya, lalu pergi ke Habsyah melindungkan diri. Ia tinggal di sana bersama saudara-saudaranya kaum Muslimin, lalu pulang ke Makkah. Kemudian ia pergi lagi hijrah kali kedua bersama para sahabat atas titah Rasulullah dan kerana taat kepadanya.

Pada suatu hari ia tampil di hadapan beberapa orang Muslimin yang sedang duduk sekeliling Rasulullah SAW. Demi memandang Mush'ab, mereka menundukkan kepala dan memejamkan mata, sementara beberapa orang matanya basah kerana duka. Mereka melihat Mush'ab memakai jubah usang yang bertambal-tambal, padahal belum lagi hilang dari ingatan mereka pakaiannya sebelum masuk Islam tak ubahnya bagaikan kembang di taman, berwarna-warni dan menghamburkan bau yang wangi.

Adapun Rasulullah, menatapnya dengan pandangan penuh makna, disertai cinta kasih dan syukur dalam hati. Dalam kedua-dua bibirnya tersungging senyuman mulia, seraya berkata, "Dahulu aku lihat Mus'ab ini tak ada yang mengimbangi dalam memperoleh kesenangan dari orang tuanya, kemudian ditinggalkannya semua itu demi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya."

Suatu saat Mus'ab dipilih Rasulullah untuk melakukan suatu tugas maha penting ketika itu.Ia menjadi duta atau utusan Rasul ke Madinah untuk mengajar agama Islam kepada orang-orang Ansar yang telah beriman dan berbaiah kepada Rasulullah di bukit Aqabah. Di samping itu, ia juga menyediakan kota Madinah untuk menyambut hijrah Rasulullah sebagai peristiwa besar.

Sebenarnya, di kalangan sahabat ketika itu masih banyak yang lebih tua, lebih berpengaruh dan lebih dekat hubungan kekeluargaannya dengan Rasulullah daripada Mush'ab. Tetapi Rasulullah menjatuhkan pilihannya kepada Mush'ab. Dan bukan tidak menyedari sepenuhnya bahawa beliau telah memikulkan tugas amat penting ke atas bahu pemuda itu dan menyerahkan kepadanya tanggungjawab nasib Agama Islam di kota Madinah.

Mush'ab memikul amanat itu dengan bekal kurnia Allah kepadanya, berupa fikiran yang cerdas dan budi yang luhur. Dengan sifat zuhud, kejujuran dan kesungguhan hati, ia berhasil melunakkan dan menawan hati penduduk Madinah hingga mereka berduyun-duyun masuk Islam. Ketika tiba di Madinah pertama kali, ia mendapati kaum Muslimin tidak lebih daripada dua belas orang, yakni hanya orang-orang yang telah baiah di bukit Aqabah. Namun beberapa bulan kemudian, meningkatlah jumlah orang-orang yang memenuhi panggilan Allah dan Rasul-Nya.

Mus'ab memahami tugas dengan sepenuhnya, hingga tak terlanjur melampaui batas yang telah dilaksanakan. Ia sedar bahawa tugasnya adalah menyeru kepada Allah, menyampaikan berita gembira lahirnya satu agama yang mengajak manusia mencapai hidayah Allah, membimbing mereka ke jalan yang lurus. Akhlaknya mengikuti pola hidup Rasulullah SAW yang diimaninya yang memikul kewajipan hanya menyampaikan belaka. Demikianlah duta Rasulullah yang pertama itu telah mencapai hasil gemilang yang tiada taranya, suatu kejayaan yang memang wajar dan layak diperolehnya.

Dalam Perang Uhud, Mush'ab bin Umair adalah salah seorang pahlawan dan pembawa bendera perang. Ketika situasi mula gawat kerana kaum Muslimin melupakan perintah Nabi, maka ia mengangkat bendera setinggi-tingginya dan bertakbir sekeras-kerasnya, lalu maju menyerang musuh. Targetnya, untuk menarik perhatian musuh kepadanya dan melupakan Rasulullah SAW. Dengan demikian ia membentuk barisan tentera dengan dirinya sendiri.

Tiba-tiba datang musuh bernama Ibnu Qumaiah dengan menunggang kuda, lalu menebas tangan Mush'ab hingga putus, sementara Mush'ab meneriakkan, "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, yang sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul."

Maka Mush'ab memegang bendera dengan tangan kirinya sambil membongkok melindunginya. Musuh pun menebas tangan kirinya itu hingga putus pula. Mush'ab membongkok ke arah bendera, lalu dengan kedua pangkal lengan meraihnya ke dada sambil berkata, "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, dan sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul."

Lalu orang berkuda itu menyerangnya ketiga kali dengan tombak, dan menusukkannya hingga tombak itu pun patah. Mush'ab pun gugur, dan bendera jatuh. Ia gugur sebagai bintang dan mahkota para syuhada.

Rasulullah bersama para sahabat datang meninjau medan pertempuran untuk menyampaikan perpisahan kepada para syuhada. Ketika sampai di tempat terbaringnya jasad Mush'ab, bercucuranlah dengan deras air matanya.

Tak sehelai pun kain untuk menutup jasadnya selain sehelai burdah. Andai diletak di atas kepalanya, terbukalah kedua-dua belah kakinya. Sebaliknya bila ditutupkan di kakinya, terbukalah kepalanya. Maka Rasulullah SAW bersabda, "Tutupkanlah ke bahagian kepalanya, dan kakinya tutuplah dengan rumput idzkhir!"

Kemudian sambil memandang burdah yang digunakan untuk kain penutup itu, Rasulullah berkata, "Ketika di Makkah dulu, tak seorang pun aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripadanya. Tetapi sekarang ini, dengan rambutmu yang kusut masai, hanya dibalut sehelai burdah. "

Setelah melayangkan pandang, ke arah medan laga serta para syuhada, kawan-kawan Mush'ab yang tergeletak di atasnya, Rasulullah berseru, "Sungguh, Rasulullah akan menjadi saksi nanti di hari kiamat, bahawa kamu semua adalah syuhada di sisi Allah!"

Kemudian sambil berpaling ke arah sahabat yang masih hidup, Rasulullah bersabda, "Hai manusia, berziarahlah dan berkunjunglah kepada mereka, serta ucapkanlah salam! Demi Allah yang menguasai nyawaku, tak seorang Muslim pun sampai hari kiamat yang memberi salam kepada mereka, pasti mereka akan membalasnya . "

Sekian saja sampai di sini... 

30 Disember 2011

Kisah Solat Para Sahabat Nabi

3 Komen

Assalamualaikum kepada semua saudara-saudaraku di luar sana. Apa khabar semua, sihat tak hari ini ? moga sihat-sihatlah kalian semua ya dengan apa hendaknya. Kali ini kita akan membincangkan tentang sedikit kisah solat Para Sahabat Nabi. Para Sahabat nabi bukanlah calang-calang orang, mereka semuanya adalah orang yang sentiasa bersama Nabi dalam apa jua keadaan. 

Jika dibandingkan solat umat akhir zaman sekarang ini memang jauh dibezakan dengan para sahabat Nabi. Kita sahaja solat belum tentu sekhusyuk dan senikmat dengan solat para sahabat-sahabat Nabi sehinggakan selemah-lemah sahabat pun diriwayatkan sekurang-kurangnya mereka solat 200 rakaat setiap hari. Bagaimana pula dengan kita yang lemah ini ? Tepuk dada tanya iman. Kita saja solat Lima waktu terasa berat untuk dikerjakan apalagi 200 rakaat memang rasa nak patahlah tulang belakang tu, betul tak ?. 

Jika kita nak mencontohi solat para sahabat-sahabat Nabi, jom kita ikuti kisah di bawah. Semoga ianya bermanfaat kepada kita semua.... Ambillah pengajran dari kisah dibawah.


Kisah 1:

Pada suatu ketika, peha Sayyidina Ali r.a. Telah terkena panah. Apabila cuba dicabut, beliau merasa begitu sakit. Seseorang telah mencadangkan supaya panah itu dicabut ketika beliau sedang solat. Apabila selesai solat, beliau bertanya sudahkah mereka mencabut panah tersebut. Mereka menjawab ya. Apabila ditanya, apakah beliau tidak merasa sakit? Beliau menjawab, beliau sedikit pun tidak merasa sakit.

Kisah 2:

Pada suatu ketika di medan jihad, Nabi telah bertanya kepada para sahabatnya, siapakah yang bersedia untuk menjaga khemah beliau pada waktu malam. Dua orang sahabat telah bersetuju. Seorang bernama Ammar bin Yasir r.a dan seorang lagi bernama Abbad bin Basyir r.a. Pada malam itu mereka telah berkawal. Abbad telah mencadangkan kepada Ammar supaya mereka berkawal secara bergilir. Beliau akan menjaga pada sebahagian malam dan Ammar akan berkawal pada sebahagian malam lagi. Ammar telah bersetuju.

Maka Abbad telah berkawal. Sementara berkawal beliau telah mendirikan solat. Dalam solatnya itu, beliau telah membaca surah Al Kahfi. Seorang peninjau musuh telah melihat beliau sedang solat lalu melepaskan panah kepadanya. Satu anak panah telah kena pada badannya. Apabila melihat beliau masih tetap solat, maka musuh telah melepaskan panah yang kedua. Bagaimanapun, Abbad tetap juga solat. Musuh tersebut melepaskan panah yang ketiga, lalu Abbad memberhentikan solatnya. Apabila melihatkan keadaan itu dan terlihat Ammar yang berada di situ, maka pihak musuh menyangkakan masih ramai lagi tentera Islam yang berkawal di situ. Lalu musuh tersebut telah melarikan diri.

Dengan badan yang berlumuran darah, Abbad telah mengejutkan Ammar yang sedang tidur. Melihatkan badan sahabatnya yang berlumuran darah itu, Ammar begitu terkejut. Ammar bertanya mengapa beliau lambat membangunkannya. Dia menjawab, ketika itu beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya. Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan Nabi saw, maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.

Lihatlah mutu solat para sahabat. Bagaimana pula dengan solat kita hari ini? Seekor nyamuk pun boleh merosakkan solat kita. Firman Allah yang bermaksud: "Dan neraka Waillah bagi orang yang lalai dalam solatnya." (Surah Al-Ma'un) Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengamalkan apa yang kita tahu dan dapat menyampaikannya di antara satu sama lain.

2 November 2011

Pelawak Di Zaman Nabi S.A.W.

0 Komen
Assalamualaikum
 
Gambar sekadar hiasan
 
Di zaman Nabi s.a.w ada seorang pelawak yang bernama Nuaiman  Al Ansary.Gerak-gerinya cukup untuk membuat orang ketawa dan biasanya suasana di sesuatu tempat akan menjadi riuh rendah apabila terdapat Nuaiman di sana. Pendeknya semua orang mengenalinya termasuk Nabi sendiri, lebih lagi beliau pernah ikut di peperangan Badar sebagai Mujahid Mukminin. Nabi s.a.w sering melihat kelucuannya dan kadangkala beliau dibawa ke hadapan baginda kerana perbuatan dan tingkah lakunya.

Pada suatu ketika terdapat seekor unta yang gemuk ditambat di depan masjid. Ia kepunyaan seorang yang datang dari desa yang jauh menemui Rasulullah untuk mengetahui soal keagamaan dari baginda. Dan seperti kebiasaannya memang terdapat ramai mereka yang suka berkumpul di luar masjid.

Apabila Nuaiman berlalu di situ mereka bertanya kepadanya, "Wahai Nuaiman, dapatkan engkau menyembelih unta yang gemuk ini? Nanti Rasulullah akan menggantikannya," demikian mereka yang ramai itu memujuk Nuaiman.

Dengan segala kelucuanya, maka unta itu disembelih oleh Nuaiman dan daginganya dibahagi-bahagikan kepada orang yang ramai itu. Mereka kemudian memanggang dan memakan daging unta yang gemuk dengan penuh kelazatannya.

Akhirnya tuan punya unta itu keluar dari masjid setelah selesai urusan berjumpa Rasulullah s.a.w. Alangkah terkejutnya beliau apabila dilihat untanya yang gemuk itu telah hilang. Rupanya telah disembelih dan orang ramai kini masih lagi meratah daging untanya. Maka berteriaklah hamba Allah itu dengan sekuat hatinya sehingga mengejutkan Nabi s.a.w yang berada di dalam masjid. Nabi s.a.w segera keluar dan bertanyakan apakah yang telah terjadi.

Maka diberitahu oranglah bahawa unta tersebut telah disembelih oleh Nuaiman dan dagingnya mereka makan bersama-sama. Ketika itu Nuaiman sudah menghilangkan diri kerana sudah mengetahui kesalahan yang dilakukannya. Nabi pun memerintahkan sekalian yang ada supaya bersama mencari Nuaiman.

Nuaiman telah bersembunyi di dalam lubang yang terlindung dengan pokok kurma di dalam kebun Dhuba'ah binti Zaber, iaitu ahli  keluarga Nabi s.a.w. Dengan bantuan Dhuba'ah , Nuaiman ditemui di tempat persembunyiannya dan kerana dilihatnya Rasulullah sendiri yang datang maka beliau tidak melarikan diri.

"Nuaimah, kenapa kamu sembelih unta itu?" bertanya Nabi s.a.w kepadanya.

"Orang ramai di luar masjid yang menyuruhnya, ya Rasulullah," jawab Nuaiman.

Mendengarkan jawapannya, Rasulullah sendiri ketawa sambil menyapu debu tanah yang melekat pada muka Nuaimah. Nuaimah dibawa keluar dan  Nabi s.a.w akhirnya menggantikan kerugian arab itu.

Begitulah Nuaimah sebagai insan yang dilahirkan sedemikian keahliannya, yang tidak berhenti dari melucu. Nabi s.a.w menerima apa yang dihadapinya dengan  lapang hati.

Pada suatu ketika yang lain pula, Nuaimah ini membuat gara-garanya lagi dan kali ini mengenai makanan. Beliau sedang bersiar-siar dan dilihatnya suatu makanan yang kelihatan lazat lalu beliau mengambil makanan itu sambil berjanji akan membelinya dan makanan itu segera dibawa kepada Nabi s.a.w agar baginda merasakan makanan tersebut.

Sewaktu Nabi s.a.w menerima hadiah makanan itu, maka si penjualnya pun datang menagih bayaran dari Nuaimah.

"Bukankah makanan ini sudah engkau hadiahkan?" tanya Nabi s.a.w.

"Ya, benar. Aku melihat makanan itu enak dan aku inginkan engkau memakannya, lalu aku beli, tetapi tidak mempunyai wang untuk membayarnya," jawab Nuaimah.

Nabi s.a.w menjadi lucu melihatkan perbuatan Nuaimah itu lalu baginda membayarnya. Sahabat-sahabat yang ada turut ketawa. Begitulah Nuaimah dalam berbagai tingkah lakunya dan Nabi s.a.w memperlihatkan sikap yang manis dan penuh kasih sayang.

Nabi mengetahui bahawa Nuaimah ini seorang yang cinta kepada Allah dan RasulNya. Hanya sikap berlucunya itu merupakan kekayaan peribadinya sehingga ada ketikanya beliau membuat lucu terhadap Nabi s.a.w. Sebagai manusia, Nabi s.a.w jadi tersenyum dan tertawa dan menerima perbuatannya secara lapang hati. Bagaimanapun, Nuaiman ini termasuk  abthal iaitu pahlawan zaman Nabi s.a.w walaupun kerjanya membuat orang ramai jadi senang hati. Namun, ada juga orang yang mencela dirinya kerana sikap Nuaiman itu, tetapi apabila didengar oleh baginda, maka baginda melarang kutukan itu kerana beliau tetap seorang yang mencintai Allah dan Rasul.

Kehadiran Nuaiman dalam masyarakat yang berbagai rupa dan kehidupan itu sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati mereka dan Nabi s.a.w menganggapnya sebagai manusia yang sememangnya dilahirkan Allah ke dunia untuk itu. Dan kepada Nuaimah sajalah yang diperlakukan Nabi s.a.w sedemikian.