2 November 2011

SENYUM

Pelawak Di Zaman Nabi S.A.W.

Assalamualaikum
 
Gambar sekadar hiasan
 
Di zaman Nabi s.a.w ada seorang pelawak yang bernama Nuaiman  Al Ansary.Gerak-gerinya cukup untuk membuat orang ketawa dan biasanya suasana di sesuatu tempat akan menjadi riuh rendah apabila terdapat Nuaiman di sana. Pendeknya semua orang mengenalinya termasuk Nabi sendiri, lebih lagi beliau pernah ikut di peperangan Badar sebagai Mujahid Mukminin. Nabi s.a.w sering melihat kelucuannya dan kadangkala beliau dibawa ke hadapan baginda kerana perbuatan dan tingkah lakunya.

Pada suatu ketika terdapat seekor unta yang gemuk ditambat di depan masjid. Ia kepunyaan seorang yang datang dari desa yang jauh menemui Rasulullah untuk mengetahui soal keagamaan dari baginda. Dan seperti kebiasaannya memang terdapat ramai mereka yang suka berkumpul di luar masjid.

Apabila Nuaiman berlalu di situ mereka bertanya kepadanya, "Wahai Nuaiman, dapatkan engkau menyembelih unta yang gemuk ini? Nanti Rasulullah akan menggantikannya," demikian mereka yang ramai itu memujuk Nuaiman.

Dengan segala kelucuanya, maka unta itu disembelih oleh Nuaiman dan daginganya dibahagi-bahagikan kepada orang yang ramai itu. Mereka kemudian memanggang dan memakan daging unta yang gemuk dengan penuh kelazatannya.

Akhirnya tuan punya unta itu keluar dari masjid setelah selesai urusan berjumpa Rasulullah s.a.w. Alangkah terkejutnya beliau apabila dilihat untanya yang gemuk itu telah hilang. Rupanya telah disembelih dan orang ramai kini masih lagi meratah daging untanya. Maka berteriaklah hamba Allah itu dengan sekuat hatinya sehingga mengejutkan Nabi s.a.w yang berada di dalam masjid. Nabi s.a.w segera keluar dan bertanyakan apakah yang telah terjadi.

Maka diberitahu oranglah bahawa unta tersebut telah disembelih oleh Nuaiman dan dagingnya mereka makan bersama-sama. Ketika itu Nuaiman sudah menghilangkan diri kerana sudah mengetahui kesalahan yang dilakukannya. Nabi pun memerintahkan sekalian yang ada supaya bersama mencari Nuaiman.

Nuaiman telah bersembunyi di dalam lubang yang terlindung dengan pokok kurma di dalam kebun Dhuba'ah binti Zaber, iaitu ahli  keluarga Nabi s.a.w. Dengan bantuan Dhuba'ah , Nuaiman ditemui di tempat persembunyiannya dan kerana dilihatnya Rasulullah sendiri yang datang maka beliau tidak melarikan diri.

"Nuaimah, kenapa kamu sembelih unta itu?" bertanya Nabi s.a.w kepadanya.

"Orang ramai di luar masjid yang menyuruhnya, ya Rasulullah," jawab Nuaiman.

Mendengarkan jawapannya, Rasulullah sendiri ketawa sambil menyapu debu tanah yang melekat pada muka Nuaimah. Nuaimah dibawa keluar dan  Nabi s.a.w akhirnya menggantikan kerugian arab itu.

Begitulah Nuaimah sebagai insan yang dilahirkan sedemikian keahliannya, yang tidak berhenti dari melucu. Nabi s.a.w menerima apa yang dihadapinya dengan  lapang hati.

Pada suatu ketika yang lain pula, Nuaimah ini membuat gara-garanya lagi dan kali ini mengenai makanan. Beliau sedang bersiar-siar dan dilihatnya suatu makanan yang kelihatan lazat lalu beliau mengambil makanan itu sambil berjanji akan membelinya dan makanan itu segera dibawa kepada Nabi s.a.w agar baginda merasakan makanan tersebut.

Sewaktu Nabi s.a.w menerima hadiah makanan itu, maka si penjualnya pun datang menagih bayaran dari Nuaimah.

"Bukankah makanan ini sudah engkau hadiahkan?" tanya Nabi s.a.w.

"Ya, benar. Aku melihat makanan itu enak dan aku inginkan engkau memakannya, lalu aku beli, tetapi tidak mempunyai wang untuk membayarnya," jawab Nuaimah.

Nabi s.a.w menjadi lucu melihatkan perbuatan Nuaimah itu lalu baginda membayarnya. Sahabat-sahabat yang ada turut ketawa. Begitulah Nuaimah dalam berbagai tingkah lakunya dan Nabi s.a.w memperlihatkan sikap yang manis dan penuh kasih sayang.

Nabi mengetahui bahawa Nuaimah ini seorang yang cinta kepada Allah dan RasulNya. Hanya sikap berlucunya itu merupakan kekayaan peribadinya sehingga ada ketikanya beliau membuat lucu terhadap Nabi s.a.w. Sebagai manusia, Nabi s.a.w jadi tersenyum dan tertawa dan menerima perbuatannya secara lapang hati. Bagaimanapun, Nuaiman ini termasuk  abthal iaitu pahlawan zaman Nabi s.a.w walaupun kerjanya membuat orang ramai jadi senang hati. Namun, ada juga orang yang mencela dirinya kerana sikap Nuaiman itu, tetapi apabila didengar oleh baginda, maka baginda melarang kutukan itu kerana beliau tetap seorang yang mencintai Allah dan Rasul.

Kehadiran Nuaiman dalam masyarakat yang berbagai rupa dan kehidupan itu sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati mereka dan Nabi s.a.w menganggapnya sebagai manusia yang sememangnya dilahirkan Allah ke dunia untuk itu. Dan kepada Nuaimah sajalah yang diperlakukan Nabi s.a.w sedemikian.
 

0 Komen:

Catat Ulasan