5 Julai 2011

SENYUM

...Menghadapi ujian Allah...

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik jiwa. Ujian terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah.

Sehinggakan kita terasa Allah tidak adil, kerana sengaja hendak menyusahkan kita, kadang kadang, kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati terus berdendam dan berburuk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu. Sedangkan, jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya.



Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan..

Ujian sebenarnya melatih dan mendidik jiwa kita dengan sifat - sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara, manakala kehidupan di akhirat itu lebih kekal abadi.

Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila.



Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).

Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya, jika kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.

Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.

Semakin kita diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Al Imran; ayat 142 yang bermaksud:

     “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”



Firman Allah dalam Surah Al Ankabut;ayat 2 yang maksudnya:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)"

Dan ingatlah, andai kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang telah Allah kurniakan kepada kita! Jadi, mengapa mesti merungut ketika diuji?

wallahua'lam..

0 Komen:

Catat Ulasan