25 April 2012

Kisah Rasulullah Sebagai Pengajaran

0 Komen
Bacalah wahai para sahabat2 ku semua..luaskan minda lapangkan dada..

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga..

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah. Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia. Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a. w. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?

6) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, 'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?' 'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.' 'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas....

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini? Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'

Wassalam....

7 April 2012

Dakwah Melalui Couple? Bolehkah????

0 Komen
Dakwah Melalui Couple? Bolehkah????

Assalamualaikum w.b.t ustaz

Saya ingin tahu sejauh mana persahabatan antara lelaki dan perempuan. Bolehkah seseorang lelaki atau perempuan itu saling berhubung untuk bertukar pendapat, nasihat dan sebagainya?. Saya juga menghadapi satu situasi yang saya sendiri keliru boleh atau tidak di sisi agama untuk dilakukan.

Saya rasa terpanggil untuk mendengar masalah orang lain dan memberi pendapat. Saya cuba guna nasihat-nasihat agama. Alhamdulillah ramai juga yang sebelumnya jauh dari hidayah Allah cuba kembali mencari cahaya agama. Namun, saya masih dalam keraguan melakukannya kerana kadang-kadang rasa bersalah kerana kerap berhubung dengan lelaki. Saya rasa sebagai seorang wanita tidak sepatutnya berkelakuan begitu.

Terima kasih.Wassalam....

RESPON USTAZD

Assalamualaikum wrt wbt

Bismillahirrahmanirrahim

Saudari, terima kasih kerana sudi bertanya. Dengan izin Allah saya akan berkongsi jawapan yang sudah lama saya simpan. Soalan ini amatlah baik. Semoga ia turut memberi kebaikan bersama kepada pembaca lain. Saya menyeru kepada remaja akan menghayati tulisan ini. Kerana ia sangat sinonim dengan dunia mereka. Khususnya kepada golongan agamawan yang suka berenta dan enti.

HATI-HATI DENGAN TIPU DAYA SYAITAN

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia hanyalah mengajak pengikutnya supaya menjadi penduduk neraka.” Surah Fathir : Ayat 6.

Memang terlalu ramai orang yang ingin membuat dakwah dan kebaikan, tetapi mereka tersilap CARA dan tersilap JALAN. Bukan kerana mereka berhati jahat, tetapi kerana mereka dikelirukan oleh syaitan. Disebabkan kecetekan ilmu dan banyaknya campur tangan pihak luar.

Oleh itu, perkara asas yang perlu kita periksa dalam perhubungan ialah cara dan batasan syariat. Pastikan ia menepati syariat. Kerana kesilapan dalam percintaan akan menjadi racun paling ampuh untuk melemahkan semangat dakwah dan jihad.

HUKUM SMS BERLAINAN JANTINA

Setengah ulamak mutakhir mengatakan bahawa SMS boleh menjadi KHALWAT. Kerana mesej yang dihantar atau perbualan di dalamnya ibarat berbicara di dalam bilik sepi. Tiada orang yang tahu apa yang diperbualkan oleh teruna dan dara menerusi SMS. Maka, jika berbicara topik peribadi menerusi SMS maka ia boleh menjadi khalwat.

Disebabkan itu, islam amat membataskan perhubungan terutamanya dalam SMS atau chat box. Kerana terlalu mudah terjebak ke dalam perbualan peribadi. Dan membawa kepada zina hati. Oleh itu, islam amat melarang SMS yang tidak ada tujuan atau sekadar berbual. Kerana ianya membuka banyak fitnah kepada teruna dan dara.

Jadi, elakkan SMS kepada berlainan jantina. Kerana ia menimbulkan banyak tanda tanya dan pra sangka orang lain. Sekalipun yang kita SMS itu adalah nasihat dan pesanan agama. Bukan langsung tidak boleh...tetapi, seimbangkan antara nasihat dan keperluan. Jika nasihat itu dirasakan tidak begitu penting, maka tidak usahlah kita panjangkan.

DAKWAH TERBAIK 

Apakah cara dakwah terbaik? 

Dakwah yang terbaik apabila NIAT dan CARAnya betul.

Niat itu perlulah kerana ALLAH. Bukan untuk dikagumi atau dihormati. Bukan untuk disanjung atau supaya orang menggelarkan dirinya “Warak”. Tetapi semata-mata kerana mahukan pahala, demi menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.

Cara yang betul untuk berdakwah bagaimana? 

Dakwah remaja lelaki untuk lelaki. Dakwah remaja wanita untuk wanita.

Bagi seorang REMAJA lelaki, fahami elok-elok. Ustaz sebut REMAJA lelaki. Biarlah remaja LELAKI BERDAKWAH SESAMA LELAKI terlebih dahulu. Bagi remaja wanita, sebagusnya dakwah remaja WANITA ITU SESAMA WANITA SAHAJA. Jika ada orang lelaki yang meminta pandangan dari wanita, sedangkan wanita itu bukan isterinya...maka beritahulah kepada lelaki itu "Adalah lebih baik saudara meminta pandangan dari ustaz yang lebih alim dan faqih. Kerana bertanya orang yang lebih senior dan alim itu adalah lebih baik. Malah jawapan dan ilmunya lebih kemas." 

CARA TERBAIK UNTUK BERTANYA

Malangnya, ramai golongan remaja lelaki buat-buat minta pandangan remaja wanita sedangkan dia tahu tahap keilmuan golongan REMAJA adalah biasa sahaja. Walaupun jawapannya itu kadang-kadang entah apa-apa. Begitu juga sebaliknya, masih ramai remaja wanita buat-buat bertanya remaja lelaki. Mereka tetap juga mahu bertanya berlainan jantina, sebab rasa syok! Ini silap! Sepatutnya teruna dan dara yang kenal beberapa orang ustaz yang lebih alim, perlu merujuk kepada mereka terlebih dahulu. Inilah cara yang betul untuk mencari ilmu.

Jika cara ini tidak dipatuhi. Maka, jadilah perhubungan itu kononnya berdakwah atau mencari ilmu...tetapi ALLAH lebih tahu apa yang ada di dalam HATINYA. Kesimpulannya. Seorang lelaki dibenarkan untuk bertanyakan ustazah yang memang diakui keilmuannya. Maka ini adalah baik bahkan dituntut. Begitu juga perempuan, dia dibolehkan merujuk kepada orang lelaki alim yang diakui keilmuannya. Maka ini juga dituntut. Malangnya, ramai yang merujuk kepada orang yang entah apa-apa ilmunya. Maka, jawapan yang diterima juga entah apa-apa.

DAKWAH PERLU LUAS DAN UNIVERSAL

Ramai orang buat alasan couple sebab nak berdakwah. Sedangkan apabila ada orang buat dosa depan mata pun dia tidak pernah tegur. Tiba-tiba ingin berdakwah dalam SMS dengan gadis pilihan sahaja. Bukankah ini ibarat orang munafiq? Nauzubillah. 

Contohnya, seorang anak dara...kata nak berdakwah. Tapi, berdakwah kepada seorang dua sahaja lelaki. Asyik-asyik berdakwah dalam SMS. Asyik berdakwah kepada lelaki itu sahaja. Sedangkan kawan-kawan perempuan lain dia tidak pernah SMS pun, tidak pernah bagi nasihat langsung. Malah, jika kawan perempuan sebilik buat dosa depan mata pun dia tidak kisah. Sebab dia fikir, berdakwah itu hanya kepada lelaki itu sahaja. INILAH KESILAPAN BESAR. INILAH JUGA TIPU DAYA IBLIS.

INGAT. Orang yang menjadi daie kepada Allah atau pendakwah, ciri pertama yang mesti ada pada dirinya ialah dia akan berdakwah kepada SEMUA ORANG. Terutamanya keluarganya, adik beradiknya, rakan sebiliknya dan rakan sejenis. Perempuan sesama perempuan dan lelaki sama lelaki. Agar dakwah itu lebih berkesan dan lebih suci. 

Malangnya, ramai yang cakap nak berdakwah dalam couple. Sedangkan orang paling dekat dengannya langsung tak pernah di dakwahnya. Dengan kekasih, cakap itu dan ini. Dakwah itu dan ini. Adik sendiri jadi hantu, dia tidak kisah. Ini semua orang-orang yang TERSASAR dalam berdakwah. Astghafirullah.

JADILAH MODERATOR

Kepada remaja. Ingat! Jika selepas ini ada sesiapa yang ingin bertanya soal cinta. Maka kita bertindaklah sebagai moderator. Iaitu kita membawanya kepada orang yang lebih tahu. Sebagai contoh, kalau ada rakan berlainan jantina tanya pasal cinta...maka beritahu dia “Masuklah laman web ustaz cinta. Atau sila rujuk forum iluvislam atau berbicaralah dengan ustaz sekain-sekian.” Itu maknanya kita menjadi moderator. Kita hanya perlu melayan soalan apabila soalan itu datang dari golongan sejenis sahaja. Maka, itu lebih baik.

Tetapi, apabila kita sudah menjadi dewasa dan matang. Kita sudah ada kelulusan dan ilmu yang mantap. Ketika itu, barulah sampai masanya kita menjadi tempat rujukan persoalan. Bila masa itu akan tiba? Iaitu selepas kita mendirikan rumah tangga. Ketika itu, kita sudah perlu menjadi tempat rujukan untuk anak-anak kita pula.

Insya Allah.

SEMOGA apa yang dikongsikan ini akan memberi kebaikan kepada semua, insyaALLAH :) 

"Petikan dari buku (Bagaimana Sepatutnya Remaja Memahami Percintaan)