10 Julai 2011

SENYUM

Kisah Saidina Ali dan Pengemis

Siti Fatimah, isteri Saidina Ali didatangi seorang peminta sedekah.
Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang,
pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa
banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25
dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke
rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25
dirham kepada pengemis itu.

Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali
dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan
ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan
kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang.
Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari.

Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki
yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada
harga asal. Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu.
Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada
penjual unta.

Beberapa hari kemudian, Rasulullah saw berjumpa Saidina Ali lalu
bertanya "Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta
itu?" Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang
menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.

MORAL & IKTIBAR

Allah membalas atau memberi ganjaran berlipat ganda jika kita menolong
orang yang dalam kesusahan.

Memberikan bantuan kepada orang yang susah merupakan satu aset yang
balasannya akan diterima di dunia lagi.

Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan kelak
Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan.

Keyakinan kepada balasan baik Allah merangsang kita untuk melakukan
amalan dan kebajikan dengan lebih banyak.

* Kalau rajin... Tolong sebarkan cerita ini kepada saudara Muslim
Muslimat yang lain agar menjadi amalan dan pengajaran kepada kita
semua. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan
bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah meninggal dunia...

0 Komen:

Catat Ulasan